Menteri Besar Incorporated (Perak) melalui Kelab Rekreasi Warga Kerja MB Inc. (CRESTERS) telah menganjurkan Program Singgah Sahur MB Inc. 2024 dengan mengedarkan juadah sahur di sekitar kawasan Ipoh, Meru dan Jelapang.
Program singgah sahur pada tahun ini memfokuskan kepada petugas barisan hadapan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), serta petugas kesihatan yang sentiasa menyumbang jasa dan bakti demi menjaga keselamatan dan keamanan masyarakat.
Turut bersama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin; Pengurusan Kanan MB Inc. Perak; dan warga kerja MB Inc. yang telah bersama-sama mengedarkan pek makanan bersahur.
Tidak ketinggalan, Encik Anuar turut menyantuni petugas barisan hadapan dengan berkongsi rezeki juadah sahur serta mendapat pandangan daripada mereka yang terlibat secara langsung dalam menjaga masyarakat.
Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam menghargai jasa dan pengorbanan selain mengeratkan lagi silaturahim sesama warga kerja bersama petugas barisan hadapan.