YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad hadir merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Anak Angkat Cikgu Saarani (AACS) Daerah Kinta dan Program Transisi Ke Arah Perak Sejahtera (TRAS) anjuran Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) di Weil Hotel, Ipoh.
Program TRAS adalah inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri melalui Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak untuk membantu pelajar Tingkatan 4 sesi persekolahan 2022 yang berpotensi, terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah merentasi kaum dan agama.
Seramai 30 orang pelajar Anak Angkat Cikgu Saarani dan 120 orang pelajar menyertai Tuisyen Intensif Daerah Kinta yang dilaksanakan di bawah TRAS telah diraikan dalam majlis ini.
Selain tuisyen dan program pemerkasaan akademik, pelajar-pelajar yang mengikuti program TRAS ini juga turut didedahkan dengan peluang dan latihan yang boleh mereka pilih selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pada majlis itu, YBUDR telah memperuntukkan sebanyak 35 komputer riba dan 115 telefon pintar untuk diagihkan kepada 150 pelajar yang diraikan.
Dalam majlis itu juga, YAB MB turut memberi motivasi kepada para pelajar dengan berkongsi prinsip 5D iaitu Dorongan , Daya Usaha, Dedikasi, Disiplin dan Doa.
Hadir sama ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBUDR, YBhg. Dato’ Dr. Aminuddin Md Hanafiah; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bina Upaya (YBU), Dato’ Ismail Safian; Pengarah Pendidikan Negeri Perak , Datuk Mohamad Fauzi Bin Mahson dan Pengurus Besar Komunikasi Korporat Strategik, Cik Siti Kamesah Bee.
Dalam majlis itu juga, YAB Menteri Besar turut menyerahkan cenderahati kepada MB Inc. sebagai tanda penghargaan atas sumbangan yang diberikan dalam inisiatif ini.
Semoga majlis ini dapat memberi impak positif kepada pembangunan modal insan di kalangan pelajar sekaligus menyuntik semangat kepada pelajar bagi menghadapi cabaran peperiksaan SPM 2023 yang akan berlangsung.