Dalam menggalakkan usaha memulihara dan melestarikan Sungai- sungai di negeri Perak, Eco-Schools Perak telah menganjurkan program ‘Inisiatif Eco-Scribes: Wartawan Muda untuk Pemulihan Sungai’ di Dataran Loma, Gerik.
Seramai 80 orang pelajar yang terdiri daripada SK Bongor, SJKC Kuala Rui, SMK Batu 4 dan SMK Bersia Felda terlibat dalam program tersebut yang telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap ADUN Temengor , YB Dato’ Salbiah Mohamed.
Turut hadir dalam program ini ialah Pegawai Daerah Hulu Perak, Tuan Mohd. Zairasyahli Shah bin Zakaria; Ketua Polis Daerah Gerik, Supt. Zulkifli bin Mahmood dan Pengurus Besar Komunikasi Korporat Strategik MB Inc., Cik Siti Kamesah Bee Mohd Hashim, Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid Sektor Pembangunan Murid di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Izlin Hani Mohamed Mokhtar serta agensi Bomba, JPS , penghulu- penghulu di Mukim Hulu Perak.
Program ‘Inisiatif Eco-Scribes: Wartawan Muda Untuk Pemulihan Sungai’ merupakan kesinambungan penganjuran inisiatif ‘Litter Less Campaign’ yang telah dianjurkan oleh Yayasan Pendidikan Alam Sekitar (FEE), Denmark, melalui program Wartawan Muda untuk Alam Sekitar (YRE) yang mengupaya golongan belia sebagai pelapor perubahan bagi bertindak meningkatkan kesedaran awam terhadap isu-isu alam sekitar sejagat.
Inisiatif yang dilaksanakan ini adalah usahasama Menteri Besar Incorporated (Perak) selaku GLC peneraju dan penggerak program kelestarian berasaskan projek, Eco-Schools di sekolah-sekolah di negeri Perak bersama-sama dengan Green Growth Asia Foundation (GGAF) yang turut menerima kerjasama baik daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pejabat Daerah Hulu Perak.
Ketika program berlangsung, sukarelawan cilik ini juga terlibat dalam aktiviti pembersihan Sungai dalam menggalakkan serta memupuk tanggungjawab terhadap alam sekitar di kalangan peserta. Dalam pada itu, peserta digalakkan untuk menyampaikan naratif alam sekitar melalui cerita foto, dengan karya terbaik.
Inisiatif ini akan menjadi platform terbaik dalam menyemai rasa cinta terhadap alam sekitar sebagai masyarakat yang bertanggungjawab dan memberi impak positif iaitu dengan melahirkan ‘duta hijau’ yang akan berkongsi mesej berkenaan alam sekitar.
Usaha wartawan cilik dalam menyuarakan isu-isu alam sekitar yang menyaksikan corak pemikiran dan semangat kesukarelawan mereka ini wajar diberikan pujian. Tahniah dan Syabas diucapkan!