Dalam siri lawatan ke Nanning, China, delegasi negeri Perak yang diketuai YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad turut berkesempatan untuk meninjau ke beberapa lokasi pelancongan yang terkenal di sekitar Nanning dalam usaha meningkatkan pembangunan industri pelancongan di negeri Perak khususnya di sekitar kawasan Kapal Korek Tanjung Tualang No. 5 (TT5).
Ini termasuklah melihat dengan lebih dekat lagi akan keunikan bandar di Guangxi dimana terletaknya San Jie Liang Xiang Street yang terkenal dengan gelaran ‘Three Streets and Two Alleys’ yang merujuk kepada tiga jalan iaitu Xingning Street, Minsheng Street dan Jiefang Street serta dua lorong pejalan kaki iaitu Jinshi Alley dan Yinshi Alley.
Untuk makluman, San Jie Liang Xiang Street yang dibina pada 1,000 tahun lalu ini juga telah dibangunkan dan diketengahkan menjadi lokasi pelancongan terkenal bukan sahaja sarat dengan bangunan-bangunan lama yang diberi nafas baharu malah masih mengekalkan sejarahnya tersendiri dengan diserikan dengan kafe-kafe serta gerai-gerai yang lebih santai di sepanjang lorong pejalan kaki.
Semoga kunjungan ini juga dapat memberi manfaat terhadap pembangunan pelancongan di negeri Perak khususnya TT5 yang turut mempunyai sejarahnya tersendiri dalam industri perlombongan bijih timah suatu ketika dahulu.