Menteri Besar Incorporated (Perak) komited untuk terus memacu kemenjadian generasi sayangi alam sekitar dalam program kelestarian berasaskan projek, Eco-Schools Perak di 30 buah sekolah sekitar negeri Perak bersama-sama dengan rakan kolaborasi Green Growth Asia Foundation (GGAF) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak.
Lebih membanggakan, 9 buah sekolah yang mempratikkan program dan projek amalan hijau yang selari dengan kerangka Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) telah terpilih untuk menerima penganugerahan antarabangsa, Green Flag Award menerusi program Eco-Schools Perak.
Sekolah-sekolah yang menerima Green Flag Award ini adalah SMK Dato Abdul Rahman Yaakub (Perak Tengah); SMK Raja Perempuan Kelsom (Kuala Kangsar); SMK Raja Perempuan Ipoh (Kinta Utara); SMK Changkat Beruas (Manjung); SMK Kampung Dato Seri Kamarudin (Manjung); SK Sultan Abdullah (Larut Matang & Selama); SK Kuak Luar (Hulu Perak); SJKC Bukit Merah (Kinta Utara); dan SJKC Siputeh (Kinta Selatan).
Penyampaian anugerah kepada sekolah-sekolah tersebut turut dirai dalam sebuah majlis di SMK Gunung Rapat yang telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Foundation for Enviroment Education (FEE), Mr. Daniel Schaffer daripada Denmark khusus untuk meraikan dan menyampaikan penganugerahan Green Flag Award ini.
Turut bersama-sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Encik Anuar Zainal Abidin; Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid (Sektor Pembangunan Murid), Tuan Haji Fakhrul Nizam bin Pakhruddin; dan Ketua Pegawai Eksekutif GGAF, Dr. Balamurugan Ratha Krishnan.
Selari dengan agenda perlombongan bertanggungjawab dalam Perak Sejahtera 2030 yang turut menekankan keseimbangan ekosistem secara menyeluruh, MB Inc. sebagai syarikat yang bertanggungjawab tidak ketinggalan untuk bersama-sama memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah dan komuniti.
Semoga penganugerahan ini menjadi pemangkin kepada usaha-usaha dalam menghijaukan bumi Perak sekali gus membentuk generasi yang mencintai alam sekitar.