DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim mencemar duli berangkat ke Anugerah Sukan Perak Darul Ridzuan 2021/ 2022 di Casuarina Meru, Ipoh.
Majlis penganugerahan tersebut adalah bagi meraikan kejayaan para atlet yang telah berjaya mengukir nama serta menyumbang jasa dan bakti kepada negeri Perak khususnya dan Malaysia amnya.
Pada masa sama, DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan menyampaikan anugerah kepada atlet sukan Muaythai, Saudara Mohamad Rifdean Masdor dan atlet Berbasikal, Saudari Nyo Chi Hui yang telah dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Perak 2021/ 2022.
Dalam majlis tersebut, 11 anugerah daripada pelbagai kategori turut diadakan dan telah disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad serta YB Tuan Khairudin Abu Hanipah.
Turut hadir ialah YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Tuan Khairudin Abu Hanipah; Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; serta Barisan Ketua dan Pengarah Agensi/ Jabatan Negeri.
Pihak MB Inc. ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada jawatankuasa pengelola bagi menjayakan Majlis Anugerah Sukan Perak 2021/ 2022 serta kepada para atlet yang telah berjaya mengharumkan nama negeri di persada sukan.