Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima lawatan kerja daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak di Kapal Korek Tanjung Tualang No. 5 (TT5), hari ini.
Kunjungan yang diketuai oleh Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak, Dato’ Ir. Sharuddin Mohd Simin telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Encik Anuar Zainal Abidin.
Sesi lawatan kerja serta perbincangan ini juga berhubung keperluan tenaga elektrik yang kian menerima permintaan tinggi daripada aktiviti-aktiviti ekonomi yang membangun di sekitar pekan Tanjung Tualang.
Melihat dari segi pertumbuhan ekonomi yang pesat membangun, MB Inc. turut mengambil inisiatif ini untuk meneroka potensi RE sebagai alternatif kepada sumber sedia ada dalam memastikan kelestarian alam sekitar.
Untuk makluman, TT5 merupakan bekas tapak perlombongan bijih timah yang telah melalui fasa pemuliharaan alam sekitar dan kini telah menjadi salah satu lokasi pelancongan utama di negeri Perak yang membangun, sekali gus dapat menyumbang kepada agenda utama Perak Sejahtera iaitu Perlombongan Bertanggungjawab.
Pada masa sama, Pengurus Besar TNB Perak turut dibawa melawat dan diberi penerangan mengenai sejarah warisan kapal korek TT5 dan Maze Park TT5 yang merupakan taman pagar sesat berbentuk hati yang pertama di Malaysia.
Pihak MB Inc. berbesar hati atas lawatan kerja yang telah diadakan hari ini dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada TNB Perak di atas kedatangan dan perbincangan bersama dalam membangunkan TT5.