Menteri Besar Incorporated (Perak) telah mengadakan lawatan kerja ke Ibu pejabat Syarikat Iwatani Corporation yang berpengkalan di Tokyo, Jepun dalam meneroka potensi kerjasama berkenaan pembangunan Mineral, termasuk hasil nadir-bumi (NR-REE) bagi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.
Dalam lawatan itu, sesi perbincangan telah diadakan bersama Pengurusan kanan Iwatani Corporation Tokyo dan juga Sektor Penyelidikan Jabatan Sumber Mineral dari Iwatani Corporation Cawangan Osaka.
Iwatani Corp. adalah syarikat swasta terkemuka di Jepun yang merupakan pemain industri Tenaga, merupakan pembekal utama Liquid Petroleum Gas (LPG) bagi keperluan konsumer dan industri. Iwatani juga merupakan pembekal mineral Yttrium (sejenis element nadir-bumi) yang digunakan dalam teknologi terkini peralatan pembuatan semikonduktor selain turut membekalkan rare earth Oxide bagi pasaran di Jepun.
Delegasi MBInc diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Anuar Zainal Abidin dan diiring oleh Ketua Pegawai Operasi, Encik Nor Afzanizam Abd Manan serta pegawai kanan Amanjaya Natural Resources Sdn. Bhd. (ANR).
Dalam siri lawatan itu, kedua-dua pihak turut menyatakan minat menerokai potensi perdagangan dan meningkatkan pelaburan dalam sektor NR-REE bersama di samping berbincang keterlibatan syarikat Jepun itu sama ada di peringkat carigali atau perindustrian hiliran.
Iwatani Corp. juga merupakan satu-satunya syarikat Jepun yang menjalankan operasi perlombongan (Titanium & Zircon) di Western Australia, dibawah Iwatani Australia Pty Ltd (dahulunya dikenali sebagai Doral Pty Ltd) 100% milik penuh Iwatani Corporation, Tokyo.
Iwatani turut terlibat dalam dagangan peralatan industri gas dimana 53 stesen hidrogen dijangka akan disiapkan dalam tahun 2023, di samping dalam industri agro-bio & makanan.
Diharap lawatan ini akan dapat menjalinkan hubungan dagangan dua hala bagi negara Jepun dan Malaysia khususnya dan di negeri Perak secara amnya.
Ini secara tidak langsung dapat mempertingkatkan manfaat perpindahan teknologi dan kepakaran terkini Jepun ke Malaysia. Buat masa ini, penglibatan negara lain berkenaan mineral nadir-bumi ini di Malaysia adalah dari Australia melalui Syarikat Lynas di Pahang dan juga Syarikat GLC China di Hulu Perak.