Majlis Penyampaian Anugerah Inovasi bersempena Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak Tahun 2022 disambut meriah di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.
Pejabat Penghulu Besar Negeri Perak telah berjaya merangkul juara bagi anugerah utama yang dipertandingkan, Anugerah Inovasi Menteri Besar (AIMB) dengan projek inovasi mereka iaitu “Sistem e-Penghulu”.
Sehubungan dengan itu, Pejabat Penghulu Besar Negeri Perak turut membawa pulang wang tunai RM 20,000 daripada Kerajaan Negeri Perak dan RM 30,000 daripada Menteri Besar Incorporated (Perak) menjadikan jumlah keseluruhan wang tunai sebanyak RM 50,000 serta piala iringan dan sijil penghargaan.
Manakala, SMK Raja Perempuan Ipoh yang merupakan salah sebuah sekolah menerima penganugerahan Green Flag Award di bawah program Eco-Schools Perak turut merangkul juara bagi Anugerah Inovasi Lestari Bumi Hijau (AILBH) dengan projek inovasi mereka iaitu “RPS BioBooster”.
Penyampian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, serta diiringi oleh YB Setiausaha Keraja Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Turut hadir, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Encik Khairul Shahril Mohamed; serta Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin.
Selain daripada itu, antara anugerah yang turut dipertandingkan terdiri daripada beberapa kategori iaitu Anugerah Inovasi Pengurusan Tanah dan Daerah (AIPDT), Anugerah Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan (AIPBT), dan Anugerah Inovasi Terbuka (AIT).
Turut tidak terkecuali, lawatan reruai pameran di sekitar Dewan Bankuet oleh barisan pemenang daripada setiap kategori anugerah yang mempamerkan projek-projek inovasi mereka.
MB Inc. mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para pemenang yang telah berjaya merangkul anugerah-anugerah tersebut. Justeru, dengan kejayaan tersebut dapatlah kita bersama-sama memupuk pembudayaan inovasi dalam kalangan rakyat Negeri Perak, sekaligus memperkukuhkan kesejahteraan rakyat dan ekonomi negeri.