Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan menyempurnakan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia Kali ke-6 (WCIT) di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, Ipoh.
Turut berangkat DYAM Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnian Sultan Idris Shah, diiringi bersama YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin.
Dalam persidangan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa dukacita dan gusar dengan situasi semasa yang memperlihatkan konsep pelbagai budaya, kepelbagaian, dan toleransi dijadikan alat senjata dalam perang budaya wacana politik di peringkat antarabangsa.
Baginda bertitah, kini manusia hidup dalam era saling tidak mempercayai, pemencilan, dan nilai yang berlawanan dengan nilai Islam biarpun terdapat negara-negara yang dahulunya disanjung kerana mengamalkan nilai progresif dan inklusif sebelum gelombang populisme.
Kesimpulannya, rakyat di serata dunia semakin hari semakin enggan berkongsi nilai kemanusiaan mereka, titah baginda.
WCIT yang dianjurkan oleh Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) kali ini membawa tema persidangan “Berkongsi Nilai Kemanusian Kita”.
Sementara itu, Sultan Nazrin turut memuji persidangan WCIT yang telah dianjurkan sejak lebih 10 tahun yang lalu dengan berjaya memilih topik yang begitu penting selain bertetapan dengan situasi seluruh umat manusia di serata dunia.
Hadir sama barisan warga kerja MB Inc.
MB Inc. mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada penganjur dan seluruh pihak yang hadir ke persidangan yang menjadi medan ilmu dan berkembang dalam konteks yang lebih global, sekaligus manfaat ini dapat memperkasakan tamadun Islam kini.