Kayuhan Perak Sejahtera @ Lubok Merbau bersempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (MESRA) @ Sekuriti Makanan di sambut meriah dengan penyertaan sebanyak 300 peserta yang terdiri daripada masyarakat DUN Lubok Merbau termasuk di seluruh Negeri Perak.
Kayuhan yang bermula di Dataran Badang, Kg. Labu Kubong itu diserikan dengan kehadiran YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Encik Khairul Shahril Bin Mohamed.
Program kayuhan ini turut diselitkan dengan program serahan bantuan beg makanan YBU dan juga penanaman pokok kelapa di tiga lokasi iaitu Kampung Labu Kubong, Kampung Rambong, dan Kampung Lubok Merbau, yang terletak di sepanjang lapan kilometer laluan kayuhan tersebut.
Dalam pada itu, peserta kayuhan juga dibawa menelusuri laluan desa sambil menikmati keindahan sawah padi dan kawasan-kawasan kampung di sekitarnya sehingga berakhir di Dewan Milennium, Lubok Merbau.
Bukan itu sahaja, Program Kayuhan Perak Sejahtera bertambah meriah dengan acara cabutan bertuah.
Program ini merupakan salah satu pengisian karnival Sekuriti Makanan @ Perak Sejahtera 2030. Objektif utama program kayuhan yang dianjurkan oleh Pejabat YAB Menteri Besar bersama MB Inc. itu dilaksanakan adalah untuk mengeratkan jalinan bersama komuniti selain menyebarluas agenda utama Perak Sejahtera 2030 khususnya kepada warga sekitar kawasan Lubok Merbau.
Turut menyertai program kayuhan, ADUN Lubok Merbau, YB Dato’ Jurij Jalaluddin; ADUN Chenderoh, YB Dato’ Haji Zainun Haji Mat Noor; Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (Perak), Encik Anuar Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Tuan Haji Yahanis Yahya, barisan Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Daerah, serta masyarakat setempat yang hadir.
Menteri Besar Incorporated (Perak) selaku penganjur program mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang telah memberikan kerjasama yang baik dalam melaksanakan program ini, termasuklah Pejabat Daerah Tanah Kuala Kangsar, Pejabat Penghulu, barisan Belia, serta pasukan keselamatan dan seluruh masyarakat Lubok Merbau yang begitu bersemangat di sepanjang program ini berlangsung.
Terima Kasih, warga Lubok Merbau.