Dalam memartabatkan integriti warga kerja MB Inc. Perak, pihak pengurusan MB Inc. telah mengambil inisiatif bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak untuk melaksanakan Program Strategik Integriti MB Inc. bersama SPRM Negeri Perak di Dewan SPRM Perak, Bandar Meru Raya.
Turut hadir sepanjang program ini diadakan, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak, YBhg. Dato’ Haji Mohd. Fauzi Haji Mohamad; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. , Encik Anuar Zainal Abidin; barisan penceramah unit Pendidikan SPRM Negeri Perak; serta Pengurusan dan seluruh warga kerja MB Inc.
Program strategik integriti ini diadakan dalam beberapa sesi secara berperingkat pada bulan Mei, Jun, dan Julai 2022 serta sesi terakhir pada Ogos bersama Pengurusan dan Ketua Pegawai Eksekutif yang disertai kira-kira 120 orang.
Antara pengisian dalam sesi-sesi tersebut adalah Pengenalan & Akta SPRM 2009, Liabiliti Korporat, dan Kesan Rasuah kepada Organisasi termasuk pendidikan dan kefahaman berkaitan Seksyen 17 A Akta SPRM 2009.
Selain daripada dapat memantapkan integriti warga kerja MB Inc. Perak, program ini sekaligus dapat membantu dalam kesedaran menolak sebarang perlakuan rasuah, penyelewengan, dan salahguna kuasa bagi sesebuah organisasi.
Dalam pada itu, antara objektif lain sepanjang program ini diadakan adalah dapat meningkatkan kefahaman warga kerja MB Inc. mengenai kesalahan rasuah, impak rasuah, dan langkah-langkah mencegah kesalahan.
Program ini juga dapat membangkitkan kesedaran dan tanggungjawab dalam memerangi rasuah sesama warga kerja MB Inc. Perak.
Pihak MB Inc. ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih terutamanya kepada pihak SPRM Negeri Perak kerana sudi menerima dan berkongsi ilmu berkaitan integriti dan rasuah, serta seluruh warga kerja MB Inc. Perak yang komited untuk hadir dalam program ini.