DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Pavillion Perak, Pameran Pertanian, Hortikultur, dan Agro Pelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022) di MAEPS, Serdang.
Ketibaan DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan DYMM Raja Permaisuri telah disambut dengan persembahan pembukaan daripada Kumpulan Selendang Perak serta sesi bergambar bersama dif-dif kehormat.
Baginda turut berkenan melawat Laman Mekanisasi, Laman Ternakan, Laman Florikultur dan lawatan ke Hall A MAEPS yang menempatkan ruang pameran daripada pelbagai pihak bagi menyokong kelestarian dalam bidang sekuriti makanan.
Turut mengiringi baginda, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer binti Zubin; YB Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YABhg. Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini; Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, serta Barisan Ketua Jabatan Agensi Negeri/ Persekutuan.
Pihak Menteri Besar Incorporated Perak (MB Inc.) yang merupakan salah satu penaja bagi Pavillion Perak menyokong penganjuran MAHA 2022 yang bertujuan menjadi indikator utama bagi memperkukuhkan sekuriti makanan Negara dalam menghadapi pelbagai cabaran.
Ini sekaligus, dapat memacu pemulihan sektor agromakanan dan membantu usahawan tani menjana sumber pendapatan.
MB Inc. ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan juga tidak langsung dalam memurnikan lagi MAHA 2022 pada tahun ini.