Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak , Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada Menteri Besar Incorporated (Perak) kepada Majlis Agama Islam Dan ‘Adat Melayu Perak di Istana Kinta, Ipoh Perak.
Dalam majlis itu, MB Inc. Perak yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Encik Anuar Zainal Abidin turut menyerahkan zakat perniagaan.
Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan bersama Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak , Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah turut disertai beberapa syarikat korporat lain dengan jumlah keseluruhan sumbangan zakat perniagaan sebanyak RM 7.18 juta.
Hadir sama pada majlis tersebut adalah Orang Kaya Tun Bendahara Seri Maharaja, YABhg. Jen (B) Dato Seri Diraja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin,YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak , Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim; Yang DiPertua MAIPk, YABhg. Tan Sri Mohd Annuar Zaini , Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, YABhg. Dato Haji Mohd. Yusop bin Haji Husin; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk , YBrs. Tuan Shahrul Azam Shaari dan Timbalan Mufti Perak, YABhg. Dato’ Hj. Zambri bin Hashim.
Sebagai salah satu agensi kerajaan negeri yang bertanggungjawab, MB Inc. terus berusaha meningkatkan produktiviti untuk menyumbang semula kepada Kerajaan Negeri bukan sahaja dalam bentuk zakat perniagaan, tetapi juga dalam bentuk sumbangan lain antaranya royalti dan sumbangan terus kepada Kerajaan Negeri.
Besarlah harapan MB Inc. agar sumbangan ini dapat memberi impak positif kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri.