Tahniah diucapkan kepada lima anak Perak yang terpilih menerima tajaan biasiswa Menteri Besar Incorporated (Perak) di bawah Program Corporate Leadership Apprentice Scheme (CLAS) MB Inc.
Objektif biasiswa CLAS ini bermatlamat untuk membentuk pemimpin-pemimpin korporat dalam pelbagai kerjaya profesional yang tertumpu kepada pelajar peringkat ijazah yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Tempatan dalam bidang pengajian yang khusus.
Ini juga menjadi hasrat MB Inc. untuk menyumbang semula kepada Kerajaan Negeri dan masyarakat dalam bentuk program-program pendidikan khususnya pembentukan modal insan yang akan menjadi pemimpin-pemimpin korporat di masa depan.
Selain itu, antara kelebihan daripada program CLAS ini adalah untuk memudahkan pelajar dari segi kewangan, mempunyai peluang pembangunan kerjaya, dan juga dapat menyumbang semula ke Negeri Perak.
Ini juga selaras dengan hasrat YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad yang mahu sektor pendidikan diberikan perhatian oleh GLC khususnya program-program kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, kesemua penerima biasiswa turut terlibat dalam satu sesi taklimat itu telah diketua Sumber Manusia dan Pentadbiran MB Inc., Encik Rizam Abd Rani di Ibu Pejabat MB Inc.
Turut serta, Pengurus Besar Komunikasi Strategik MB Inc., Siti Kamesah Bee, dan wakil-wakil dari Unit Sumber Manusia dan Pentadbiran MB Inc.
Dalam sesi taklimat itu, kesemua peserta telah diberikan penerangan berkaitan MB Inc. dan subsidiari selain sesi bersama dengan Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Encik Anuar Zainal Abidin yang turut berkongsi visi program CLAS termasuklah pelan program merangkumi pembangunan kerjaya, memberi motivasi serta kata -kata semangat.
Selain itu, mereka turut berkesempatan melawat Kapal Korek Tanjung Tualang Tin Dredge No. 5 (TT5) dan TT5 Maze Park, tapak bekas lombong bijih timah yang dipulihara dan dibangunkan oleh MB Inc. menjadi sebagai salah satu lokasi pelancongan yang dilawati di negeri Perak.