Produk eko-pelancongan, Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 ( TT5) yang dipulihara oleh Menteri Besar Incorporated hari ini terlibat dalam Program Penilaian Semula Geopark Kebangsaan Lembah Kinta.
Turut hadir Timbalan Pengarah Geosains , JMG Perak, Encik Mat Niza bin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pengarah (Konservasi) PERHILITAN, Dato' Fakhrul Hatta Musa ; Penolong Pengarah Kanan JMG Muhammad Mustadza Mazni; Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark , Prof. Dato' Dr. Mohd Moktar Saidin ; Pengerusi Pusat Penyelidikan Langkawi , Dr. Sharina Abdul Halim ; Penasihat Geopark Lembah Kinta, Prof. Emeritus Dr. Mohd Shafeea Leman dan Prof. Madya Askury Abd Kadir.
Geopark Lembah Kinta adalah Geopark Kebangsaan yang kedua di Malaysia ini merupakan antara produk pelancongan yang unik dan mempunyai 19 geotapak dengan keluasan kira-kira 1.952 hektar merangkumi daerah Kinta dan Kampar.
Geopark Lembah Kinta akan menjalani penilaian semula pada tahun ini setelah penilaian pertama dijalankan pada 2017 , bagi mengekalkan kriteria-kriteria sebagai Geopark Kebangsaan.
Sesebuah geopark yang bertaraf kebangsaan atau global perlu menjalani prosedur penilaian semula pada setiap empat tahun.
Antara kriteria-kriterianya termasuk pengekalan unsur-unsur pembangunan lestari dan mampu memberi manfaat khususnya dari segi penjanaan ekonomi komuniti setempat dimana kawasan di sekitar TT5 turut menerima limpahan ekonomi dengan tersedianya peluang pekerjaan dan juga tarikan pelancong di sekitar Batu Gajah yang mengunjungi lokasi-lokasi terkenal seperti Restoran Mi Udang Galah.
Pematuhan kepada kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Geopark Kebangsaan adalah penting agar usaha-usaha kerajaan negeri dalam menambah baik potensi pelancongan dan perancangan pembinaan infrastruktur Geopark Kebangsaan Lembah Kinta ini dapat diteruskan.
Untuk makluman, Kapal Korek warisan terakhir TT5 telah diisytiharkan sebagai Geopark Lembah Kinta pada Oktober 2018 iaitu sebahagian tapak warisan perlombongan bijih timah di Malaysia.
TT5 adalah salah satu lokasi pelancongan di dalam Geopark Lembah Kinta yang dipulihara dengan baik, kaya dengan flora dan fauna di sekitarnya serta menyimpan sejarahnya tersendiri sebagai ikon perlombongan bijih timah yang gemilang .
Untuk itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) akan terus membantu Kerajaan Negeri dari sudut teknikal termasuk kajian bagi menambah maklumat mengenai sumber Geotapak dan pembangunan Geopark serta program kesedaran bersama masyarakat setempat supaya Geopark Lembah Kinta kekal sebagai Geopark Kebangsaan.