Menteri Besar Incorporated telah menganjurkan sesi temuduga kepada penuntut IPTA bagi program biasiswa Corporate Leadership Apprentice Scheme (CLAS) anjuran MB Inc. yang berlangsung selama tiga hari di Hotel Dorsett, Kuala Lumpur dan Hotel Weil, Ipoh.
Seramai 31 peserta telah ditemuduga oleh Ketua Pegawai Operasi MB Inc. , Encik Nor Afzanizam bin Abd Manan dan Ketua Sumber Manusia dan Pentadbiran, MB Inc. , Encik Rizam bin Abd Rani.
Dalam sesi temuduga itu, pelajar bukan sahaja dinilai menerusi pencapaian akademik semata-mata sebaliknya keterampilan dan kualiti diri pelajar turut dinilai.
Program ini bertujuan untuk melatih dan membentuk penuntut IPTA ini untuk supaya mereka ini dapat menjadi pelapis kepada pemimpin korporat pada masa hadapan khususnya dalam bidang kejuruteraan perlombongan, geologi, kejuruteraan marin, perakaunan dan undang-undang.
MB Inc. telah memperuntukkan satu dana bagi program ini yang akan dinikmati oleh anak Perak dan pelajar yang telah bermaustatin di negeri ini melebihi 5 tahun.
Ini adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) MB Inc. yang memfokuskan kepada teras Pendidikan, sekaligus memperkasakan pembangunan modal insan serta kompeten agar menjadi pemimpin korporat yang cemerlang.
Pelaksanaan CLAS ini juga adalah selari dengan hasrat Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yang mahu semua GLC pada tahun ini untuk turut memberi penekanan dan perhatian kepada sektor pendidikan.
Selain program biasiswa, MB Inc. juga telah melaksanakan program antarabangsa berkonsepkan pendidikan dan kelestarian alam sekitar, Eco-schools dan turut terlibat dalam Inisiatif Bantuan Makanan Percuma menerusi Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) .
Semoga usaha ini akan membentuk lebih ramai pemimpin korporat di negeri Perak yang akan membawa kepada kemakmuran dan kesejahteran di negeri ini.