Wan Arief Terima Sumbangan RM12,250 Untuk Kaki Palsu

thumbnail

BATU GAJAH – Wan Arief Firdaus Wan Ahmad Affendy mampu mengukir senyuman apabila menerima cek bernilai RM12,250 untuk membuat kaki palsu, sumbangan daripada kerajaan negeri melalui Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) hari ini.

Sebelum ini pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Indera Wangsa Ahmad di sini itu telah kehilangan kaki kiri akibat kanser tulang dan terpaksa dipotong pada 2016.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat Strategik MB Inc, Siti Kamesah Bee Mohd Hashim, sumbangan yang diberikan itu diharap mambu membantu remaja tersebut dalam mencapai cita-citanya dalam arena sukan.

Katanya kegigihan dan kecekalan remaja itu dalam menjalani kehidupan seharusnya dicontohi ramai pihak agar tidak mudah putus asa walau sekuat mana cabaran yang dihadapi.

“Kami di MB Inc terkesan dengan kesungguhan dan semangat juang Wan Arief. Ini yang kita mahukan dalam diri anak muda yang mempunyai semangat juang untuk terus ke hadapan tanpa memikirkan tentang kekangan,” tambahnya.

Beliau berkata demikian  kepada pemberita selepas menziarahi Wan Arief di kediamannya di Kampung Sentang di sini, hari ini.

Turut hadir pada pertemuan itu Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh.

Selain itu Mohd Hafez menjelaskan pembayaran bagi mendapatkan kaki palsu itu akan terus dibuat kepada syarikat terlibat dan ia dijangka siap dalam tempoh dua bulan.

Beliau yang mewakili Menteri Besar berharap  agar bantuan yang diberikan mampu memberikan sinar baru kepada  Wan Arief untuk terus aktif dalam bidang sukan.

Pada masa sama, selain bersyukur, ibu kepada Wan Arief, Zetty Ferdaus Ramli, 37, menyifatkan sumbangan yang diterimanya itu sebagai satu kelegaan buatnya sekeluarga.

“Kami sekeluarga kini dapat tidur lena tanpa perlu memikirkan dari mana perlu mencari wang sebanyak itu untuk membuat kaki palsu anak saya ini,” katanya.

Tambah Zetty, kira-kira dua bulan lalu Wan Arief yang merupakan anak sulung daripada tiga anaknya dipilih menyertai pasukan para renang Perak dan sering berulang-alik ke Kuala Kangsar pada setiap Sabtu dan Ahad bagi menjalani latihan.

Terdahulu kisah Wan Arief Firdaus tular di media sosial kerana membantu ibunya meniaga roti puri bagi menambah pendapatan untuk menampung kos rawatan kaki palsunya.

Kisah remaja itu  turut mendapat perhatian Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum Mohd Hafez yang mewakilinya mengunjungi kediaman Wan Arief pada 2 November baru-baru ini.

Sumber:https://peraktoday.com.my/2020/11/wan-arief-terima-sumbangan-rm12250-untuk-kaki-palsu/