TT5 Maze Park diperkenal di Expo Dubai

thumbnail

IPOH: TT5 Maze Park atau taman pagar sesat, tarikan terbaharu ekopelancongan di Perak mula dipromosikan di Expo Dubai 2020.

Expo di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu sepatutnya diadakan pada 2020 tetapi tertangguh disebabkan pandemik Covid-19, disertai 192 negara, bermula 1 Oktober lalu sehingga 31 Mac depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Anuar Zainal Abidin berkata, MB Inc. berasa bertuah kerana berpeluang mempromosikan produk pelancongan milik anak syarikatnya, Amanjaya TT5 Sdn. Bhd. di peringkat antarabangsa.

“TT5 Maze Park terletak bersebelahan monumen ikonik perlombongan biji timah di Geopark Kebangsaan Lembah Kinta, Kapal Korek Tanjung Tualang No. 5 (TT5) yang menggabungkan lapan elemen unik dan menyeronokkan berbentuk hati dengan menggunakan bahan-bahan sinonim dengan Perak seperti batuan mineral serta barangan kitar semula dan atap rumbia hasil tangan Orang Asli,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Menurutnya, MB Inc. mengunjurkan kenaikan pelancong domestik sehingga 60 peratus manakala pelancong antarabangsa sebanyak 40 peratus tahun ini khususnya dari rantau Asia meliputi Asia Barat, China dan Singapura. 

Selain itu, pihaknya juga menjangkakan pelancong dari United Kingdom (UK) kerana kapal korek yang berada TT5 itu dibina di England sekitar 1930-an.

“Ini akan menarik pelancong luar negara untuk melihat lebih dekat lagi ‘marvel engineering’ yang dibina ketika zaman kegemilangan bijih timah di negeri Perak.  Tidak lupa, tarikan terbaharu, TT5 Maze Park,” ujarnya.

Menurut beliau, Kapal Korek TT5 dan TT5 Maze Park itu turut mendapat perhatian Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukry ketika mengunjungi tapak pameran produk pelancongan negeri Perak selepas merasmikan Pavilion Malaysia di expo tersebut.

Menurut Anuar, MB Inc. bukan sekadar memulihara kapal korek malah turut berasa  bertanggungjawab untuk membangunkan bekas tapak perlombongan bijih timah itu.

Jelasnya, ia dilakukan dengan menghijaukan kawasan persekitarannya dengan penanaman pokok-pokok selain  TT5 Maze Park yang direka untuk tujuan pelancongan dan riadah seisi keluarga. 

“TT5 Maze Park bukan sekadar Taman Pagar Sesat berbentuk hati malah turut ada petting zoo, kafe The Can Tin ala 70-an yang mengetengahkan hidangan dim sum dan pau serta Ipoh White Coffee selain menjanjikan pengalaman dan pemandangan menarik di sekitarnya,” jelasnya lagi.

Untuk maklumat lebih lanjut berkaitan TT5 Maze Park dan Kapal Korek TT5, boleh layari https://tt5perak.com atau Facebook: TT5 Perak atau Instagram @tt5perak. – UTUSAN