GOPENG - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Sabtu berkenan berangkat ke makmal analisis unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) pertama di Malaysia, Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML) di Simpang Pulai di sini.
Keberangkatan tiba baginda bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim pada jam 4 petang itu disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Terra Mineral Lab yang beroperasi di bawah seliaan sepenuhnya Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak iaitu sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah memulakan operasi September lalu sebagai makmal komersial analisis mineral dengan pengkhususan serta kepakaran dalam analisis kepekatan dan kandungan NR-REE dan mineral-mineral lain.
Kemudahan penyelidikan yang dibangunkan dengan kos RM12 juta itu dilengkapi peralatan saintifik berteknologi tinggi bertaraf dunia dan mempunyai keupayaan unggul dalam menganalisis, mengenal pasti dan menentusahkan kandungan mineral khususnya NR-REE.
Makmal tersebut dikendalikan 15 pakar tempatan yang merupakan graduan terlatih dari universiti tempatan membuktikan kejayaan dalam membangunkan bakat setempat.
Dalam lawatan itu, baginda berdua turut berkenan mendengar taklimat keselamatan dan pengoperasian oleh Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc Perak, Datuk Anuar Zainal Abidin.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara kemudiannya dibawa melawat fasiliti dan pengoperasian makmal.
Sementara itu, Saarani berkata, kejayaan penubuhan TML mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri menerusi MB Inc Perak dalam membangunkan industri mineral secara bertanggungjawab selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.
"Pembangunan industri NR-REE ini bukan sahaja akan memanfaatkan ekonomi negeri tetapi membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan serta meletakkan Perak di peta global industri mineral,” katanya.
Beliau berkata, TML kini menawarkan perkhidmatan analisis mineral kepada pelbagai pihak berkepentingan industri, bukan sahaja di Perak malah di seluruh Malaysia.
"Peranannya sebagai pusat pangkalan data dan penanda aras rujukan negeri telah memperkukuhkan kedudukan Perak sebagai peneraju dalam industri NR-REE negara," katanya.
Pada program sama, baginda turut berkenan berangkat ke sebuah kilang pusat pemprosesan (CPP) secara percubaan (POC), Syarikat Malaco Mining Sdn Bhd di Taman Perindustrian Tungzen, Kampung Kepayang.
Kilang pemisahan bahan galian kritikal tersebut telah mencapai kejayaan awal dengan berjaya mengasingkan empat kumpulan unsur nadir bumi (REE).
Kumpulan-kumpulan tersebut merangkumi lanthanum cerium (LaCe), praseodymium neodymium (PrNd), samarium europium gadolinium (SEG) dan heavy rare earth element (HREE).
Pencapaian ini membuktikan keupayaan teknologi tempatan dalam mengasingkan elemen-elemen REE yang penting.