Rumah Ngaji MB Inc perkasa Al-Quran dalam komuniti setempat

thumbnail

BATU GAJAH – Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) menubuhkan Rumah Ngaji Mb Inc iaitu sebuah pusat interaksi dalam memperkasakan usaha memantapkan kekuatan rohani komuniti setempat melalui pengajian al-Quran.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MB Inc berkata, Rumah Ngaji yang dibuka di Tapak Warisan Kapal Korek No 5 Tanjung Tualang (TT5) adalah yang pertama seumpamanya dibuka dan dibangunkan anak syarikat kerajaan negeri (GLC) Perak.

“Penubuhan Rumah Ngaji bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti tempatan dalam usaha pemantapan kekuatan rohani selain mewujudkan masyarakat baca, faham dan amal al-Quran.

“Penubuhan Rumah Ngaji MB Inc@ TT5 ini adalah inisiatif bertepatan dengan hasrat MB Inc untuk membantu komuniti setempat dalam membudayakan ilmu dan aspek kerohanian dengan memahami dan mengamalkan ajaran murni Islam yang terdapat dalam al-Quran,” katanya

Penubuhan Rumah Ngaji MB Inc@TT5 ini adalah hasil kerjasama strategik Rumah Ngaji Perak dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), sebuah organisasi tanpa keuntungan dalam usaha untuk untuk mengajak masyarakat kembali kepada al-Quran.

Kata kenyataan itu lagi, semua kelas mengaji dan program ilmu yang dilaksanakan di Rumah Ngaji MB Inc @ TT5 ditanggung dan dibiayai oleh MB Inc dengan semua kelas adalah percuma kepada komuniti di sekitar Tanjung Tualang.

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2020/09/09/rumah-ngaji-mb-inc-perkasa-al-quran-dalam-komuniti-setempat/