Perak Terima Sumbangan RM3.06 juta, Akan Salur Ke Tabung Bencana dan Bantuan Sosial

Thumbnail

IPOH: Kerajaan Perak menerima sumbangan daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi korporat berjumlah RM3.06 juta, hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata daripada jumlah tersebut Tenaga Nasional Berhad (TNB) merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak RM2 juta.

Katanya sumbangan tersebut akan disalurkan ke Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak yang mana ia akan digunakan sebagai inisiatif melawan wabak Covid-19 serta bantuan sosial kepada rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

2

“Saya bagi pihak kerajaan negeri berikrar untuk menggunakan segala sumbangan kewangan yang diterima ini untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Setakat ini jumlah sumbangan yang diterima untuk tabung ini adalah RM11 juta. Ia hasil sumbangan daripada agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta.

“Bantuan ini kita telah salurkan dan sebahagiannya juga telah mula dibelanjakan untuk golongan sasar,” katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Terdahulu beliau telah menerima kunjungan hormat dari Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang menyampaikan sumbangan RM2 juta daripada TNB kepada Kerajaan Perak.

Turut hadir, Ketua Pegawai Runcit TNB, Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan serta Pengurus Besar TNB negeri, Datuk Raja Abd Jalil Raja Zaid.

Selain itu, Ahmad Faizal turut menyaksikan penyerahan sumbangan kepada kerajaan negeri daripada Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Lembaga Air Perak, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Team Keris Bhd serta Empayar Indera Sdn Bhd.

 

Sumber:https://peraktoday.com.my/2020/04/perak-terima-sumbangan-rm3-06-juta-akan-salur-ke-tabung-bencana-dan-bantuan-sosial/