Perak terima pelaburan RM2 bilion melalui MB Inc

thumbnail

BAGAN DATUK – Kerajaan negeri melalui Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) menerima pelaburan bernilai RM2 bilion melalui perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Younchang Engineering and Construction (M) Sdn. Bhd. dan Chin Hin Group Berhad.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, MoU bagi projek Pusat Perindustrian Perikanan Antarabangsa Bagan Datuk itu bukan sahaja melibatkan projek berimpak tinggi malah dijangka bakal menyediakan lebih 5,000 peluang pekerjaan di Bagan Datuk.

Menurut Saarani, kerjasama ini merupakan salah satu langkah terbaik Kerajaan Negeri melalui MB Inc. dalam memperkasakan agenda sekuriti makanan dengan memajukan satu pusat industri perikanan bertaraf global di Bagan Datuk.

“Melalui MoU ini, MB Inc. dan dua rakan kongsi strategik akan memajukan satu pusat perindustrian perikanan bertaraf global, sekali gus menjadi pemacu ekonomi utama dalam industri perikanan dan makanan halal di Bagan Datuk.

“Melalui projek ini, kawasan Bagan Datuk dapat dijadikan sebagai pusat industri dan perdagangan perikanan global serta menghasilkan limpahan manfaat sosio-ekonomi khususnya kepada penduduk sekitar.

“Ini meliputi pembangunan infrastruktur dan peluang pekerjaan yang dianggarkan sebanyak 5,500 pekerjaan,” katanya selepas menyaksikan majlis MoU berkenaan, di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini, pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Encik Anuar Zainal Abidin berkata, jalinan kerjasama antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Perak dan syarikat-syarikat ini adalah titik penting untuk perlaksanaan projek berimpak besar di negeri ini.

“MB Inc. sebagai sebuah GLC Perak, komited untuk menggerakan projek industri perikanan berskala besar, sekali gus memberi pulangan pelaburan yang tinggi kepada ekonomi negeri Perak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Younchang, melalui rangkaian globalnya, telah berjaya mendapatkan persetujuan secara prinsip atau minat awalan daripada beberapa buah syarikat tempatan dan antarabangsa.

Ia melibatkan perusahaan perikanan laut dalam dan pemprosesan produk laut dari Australia, New Zealand dan Korea untuk bertapak di Pusat Perindustrian Perikanan Antarabangsa Bagan Datuk.

Pengerusi Eksekutif Younchang, Datuk Sri Mohd Amim A. Wahab berkata, dengan penglibatan syarikat-syarikat antarabangsa tersebut, Pusat Perindustrian Perikanan Antarabangsa Bagan Datuk ini akan berdaya maju menjadi pusat pemprosesan, pembekalan dan pengedar produk laut antarabangsa yang utama di rantau ini.

“Projek pembangunan sebesar Pusat Perindustrian Perikanan Antarabangsa Bagan Datuk yang melibatkan perusahaan dan pelaburan asing, memerlukan pemaju yang berkeupayaan tinggi dari segi kewangan dan teknikal untuk membentuk kepercayaan pelabur,” ujarnya.

Pengarah Urusan Kumpulan Chin Hin Group Berhad, Chiau Haw Choon berkata beliau yakin dapat memainkan peranan tersebut dengan berkesan, berasaskan modal agregat kumpulan yang melebihi RM 8 billion, serta pengalaman yang luas dalam perancangan, perlaksanaan dan pengurusan projek seperti ini. -MG Perak