Perak terima pelaburan RM2 bilion, majukan pusat perikanan global di Bagan Datuk

thumbnail

BAGAN DATUK - Kerajaan Perak melalui Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) menerima pelaburan baharu RM2 bilion bagi memajukan pusat industri perikanan bertaraf global di Bagan Datuk.

Kerjasama strategik Pusat Perindustrian Perikanan Antarabangsa Bagan Datuk itu dijalinkan MB Inc bersama dua syarikat tempatan, Younchang Enginnering and Construction (M) Sdn Bhd dan Chin Hin Group Berhad.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MB Inc dengan syarikat berkenaan disaksikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Daerah Bagan Datuk di Dewan Dato' Lope Hashim dekat sini pada Khamis.

MB Inc selaku syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Anuar Zainal Abidin, Younchang diwakili Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Sri Mohd Amin A Wahab manakala Chin Hin Group Berhad oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Chiau Haw Choon.

Saarani berkata, projek berimpak tinggi itu antara langkah terbaik dilaksanakan kerajaan negeri dalam memperkasa agenda sekuriti makanan.

"Melalui projek ini, kawasan Bagan Datuk dapat dijadikan pusat industri perikanan bertaraf global sekaligus menjadi pemacu antara ekonomi utama dalam industri perikanan dan makanan halal.

"Selain memberi nilai tambah kepada perkembangan ilmu serta kepakaran teknologi tinggi dalam industri bidang perikanan dan produk perikanan yang dihasilkan di Malaysia, inisiatif itu juga dijangka mampu menyediakan lebih 5,500 peluang pekerjaan," katanya.

Younchang melalui rangkaian globalnya telah berjaya mendapatkan persetujuan secara prinsip daripada beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa dalam perusahaan perikanan laut dalam dan pemprosesan produk laut dari Australia, New Zealand dan Korea.