GOPENG: Kejayaan projek rintis perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Mukim Kenering dekat Gerik, membolehkan Perak mengimbangi monopoli China dalam pengeluaran bahan bernilai tinggi, lantanida.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerja-kerja mengekstrak dan eksport NR-REE itu sudah menjana royalti sebanyak RM29.73 juta kepada kerajaan negeri, sekali gus membuktikan potensi besar industri itu.
Katanya, selain Mukim Kenering, kerajaan negeri dengan bantuan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sudah membuat pemetaan lokasi di seluruh Perak yang dikenalpasti kaya dengan kandungan mineral dan berhasrat melakukan penerokaan.
"Pada masa ini, lebih 85 peratus pengeluaran lantanida dunia dikuasai oleh China. Kita akui China adalah sebuah negara besar, kita tidak sebesar itu.
"Tetapi apabila ada penemuan mineral di luar China, jadi tidak ada satu negara yang akan memonopoli harga. Tidak ada lagi harga bahan mineral itu ditentukan oleh sebuah negara sahaja.
"Kita sudah memulakan pembinaan makmal analisis mineral (Terra Mineral Lab) di sini bagi memberi peluang kepada pengguna supaya tidak bergantung kepada satu sumber sahaja di dunia.
"Perak khususnya ada menawarkan sumber ini," katanya selepas meninjau operasi makmal itu, dekat sini, hari ini.
Saarani berkata unsur nadir bumi adalah aset pembangunan teknologi masa hadapan kerana ia digunakan secara meluas dalam pembuatan komponen kereta elektrik, tenaga solar, turbin angin dan pelbagai alat elektronik canggih.
"Oleh itu, dengan adanya Terra Mineral Lab di Perak, kita berada di landasan tepat untuk menyumbang kepada kepelbagaian rantaian bekalan global, sekali gus mengurangkan pergantungan dunia kepada suatu sumber," katanya.
Saarani turut mengalu-alukan kerajaan negeri lain dan pihak swasta untuk menggunapakai kemudahan makmal itu demi manfaat pembangunan industri mineral negara.
"Negeri lain tidak perlu membuka makmal yang sama kerana mahal, mereka boleh datang untuk mengguna pakai makmal sedia ada. Dalam masa, sama lebih ramai bakat muda yang berkemahiran dan pakar dalam bidang ini boleh dilahirkan.
"Sebelum ini, ada yang bawa (mineral) ke China atau ke negeri lain membabitkan kos pengangkutan, logistik dan proses yang perlu dilalui termasuk kastam, imigresen dan sebagainya.
"Namun, dengan adanya makmal ini, kita tidak perlu mengeluarkan kos untuk tujuan itu. Hanya membayar yuran perkhidmatan sahaja," katanya.
Saarani berkata makmal menelan kos RM12 juta itu menempatkan pelbagai peralatan saintifik berteknologi tinggi yang mampu menganalisis, mengenal pasti dan menentusahkan kandungan mineral khususnya NR-REE dengan ketepatan yang tinggi.
Antaranya adalah `Inductively Coupled Plasma Mass Spectrometry (ICP-MS)', `Wavelength Dispersive X-Ray Flourescense (WDXRF)' dan `Micro X-Ray Fluorescense (Micro-XRF)'.