Kuala Lumpur: Penubuhan makmal nadir bumi bukan radio aktif (NR-REE) pertama negara bakal menjadikan negeri Perak sebagai hab komprehensif dan pemangkin industri mineral itu di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) Anuar Zainal Abidin berkata, makmal NR-REE bakal merancakkan lagi sektor itu dan pada masa sama ia selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 berhubung perlombongan bertanggungjawab.
"Makmal analisis mineral ini juga berupaya membantu Perak menjadi pemangkin di peringkat huluan yang akhirnya akan memberi nilai tambah kepada peringkat pertengahan dan peringkat hiliran masa depan.
"Ini sekali gus menjadi penanda aras penting bagi pembangunan industri nadir bumi, bukan sahaja di Perak, tetapi di Malaysia secara keseluruhan,'' katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, keupayaan makmal itu tidak terhad kepada menganalisis REE sahaja malah ia juga mampu membuat analisa membabitkan mineral lain yang berpotensi untuk diperkembangkan di masa hadapan.
Katanya, hasil daripada analisis berkenaan boleh disimpan dalam satu pangkalan data dan boleh menjadi rujukan kepada kerajaan pada masa akan datang.
Terdahulu media melaporkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan bakal membina makmal berkenaan di negeri itu dan sudah mendapat kebenaran dari Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTSA).
Makmal itu akan dibangunkan tiga agensi di bawah kerajaan negeri iaitu MB Inc, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).