Perak akan bina makmal NR-REE pertama di Malaysia

thumbnail

IPOH – Perak akan membina makmal nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang pertama di Malaysia.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, makmal itu akan dibina tiga agensi di bawah kerajaan negeri iaitu Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Menurutnya, pembinaan makmal itu sudah mendapat kebenaran Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTSA) sewaktu Mesyuarat Mineral Negara pada Isnin.

“Kita dibenar untuk membina makmal yang akan dikongsi bersama MB Inc, Perak SADC dan PKNP.

“Kita akan menjadi perintis dengan pembinaan makmal pertama dalam Malaysia yang mengendalikan  uji kaji melibatkan unsur nadir bumi, jadi mana-mana pihak dari negeri lain yang melakukan cari gali dan hendak buat ujian mereka kena datang ke Perak untuk guna pakai makmal kita,” katanya

“Jadi, kita akan mencari jalan untuk dikerumuni negeri lain bagi mengguna pakai makmal yang kita bina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-55 Persekutuan. Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Perak yang diadakan di Hotel Weil, malam ini.

Hadir sama, Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai dan Pengerusi FMM Perak, Chua Kay Lin.