POH - Kerajaan negeri Perak akan membina makmal mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang pertama di negara ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu sudah mendapat persetujuan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) ketika Mesyuarat Mineral Negara pada Isnin.
Menurutnya, makmal tersebut akan ditubuhkan bersama oleh Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).
"Kita dibenar untuk bina makmal yang akan dikongsi bersama MB Inc, Perak SADC dan PKNP, yang dibina di dalam Malaysia. Ini bukan hanya Perak sahaja yang ada mineral tapi seluruh negara. Siapa juga cari gali mereka akan datang untuk mengesahkan unsur nadir bumi ini.
"Kita akan mencari jalan untuk dikerumuni negeri lain bagi mengguna pakai makmal yang kita bina," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-55 Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) Perak di sebuah hotel di sini pada Rabu.
Hadir sama pada majlis itu, Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai dan Pengerusi FMM Perak, Chua Kay Lin.
Sementara itu, Saarani berkata, pihak kementerian juga bersetuju untuk membenarkan Perak memperluas operasi kawasan perlombongan NR-REE.
Katanya, sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mineral diperoses di dalam negara, kerajaan negeri turut meminta kebenaran memulakan pembinaan kilang bagi menghasilkan produk hiliran daripada NR-REE.