Orang Asli bangga jahit 100 helai selempang Jalur Gemilang

Mesin Jahit

Teh, 55, berkata beliau bersama enam lagi penduduk Orang Asli suku kaum Semai yang dikenali sebagai Kumpulan Ceknik (bermaksud menjahit dalam dialek Orang Asli) menerima tempahan itu pada Jumaat lepas untuk menyiapkan kira-kira 100 helai selempang.

"Saya amat bersemangat dapat menjahit selempang ini untuk dipakai masyarakat Orang Asli semasa perbarisan Hari Kebangsaan nanti.

"Walaupun kami tidak bersama-sama dalam perbarisan itu nanti tetapi dapat menjahit selempang ini sedikit sebanyak dapat menyumbang untuk memeriahkan hari kemerdekaan pada tahun ini," katanya ketika ditemui media di Kampung Sungai Cincin di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Noraimi a/p Yusuf, 31, mengucapkan terima kasih kepada pihak Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) kerana memberi kepercayaan ke atas mereka untuk menyiapkan kesemua selempang berkenaan.

"Kami menjahit selempang ini sehingga waktu senja memang tidak berasa penat malah sangat seronok pula dapat menjahit selempang dari bendera (Jalur Gemilang) yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Strategik MB Inc, Siti Kamesah Bee Mohd Hashim berkata projek menjahit selempang itu hasil perbincangan sebelum ini antara pihaknya bersama penduduk kampung tersebut.

"Ini adalah salah satu projek Program Kampung Angkat Orang Asli yang diilhamkan oleh Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) yang mana MB Inc sebagai satu daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kerajaan negeri akan memperkasakan untuk membantu dan membangunkan sosio ekonomi penduduk di sini.

"Walaupun mereka tidak mempunyai masa yang begitu panjang untuk menyiapkan selempang tersebut sebelum perarakan Hari Kebangsaan tetapi semangat bersungguh-sungguh yang ditunjukkan mereka membuatkan proses menjahit berjalan dengan begitu lancar," katanya.

Siti Kamesah Bee berkata sejumlah 700 helai bendera bersaiz kecil berukuran enam sentimeter lebar dan sembilan sm panjang digunakan untuk menjahit kesemua selempang berkenaan.

"Bagi satu helai selempang hanya memerlukan tujuh helai dan ada satu reka bentuk sahaja selempang ini dijahit supaya konsisten," katanya.
 

sumber - Bernama

http://bernama.com/bm/am/news.php?id=1761925