MB Inc terima anugerah Pemegang Lesen Terbaik Bahan Radioaktif

thumbnail

IPOH – Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak, melalui anak syarikatnya, Amanjaya Global Sdn. Bhd menerima penganugerahan Pemegang Lesen Terbaik untuk Kategori Bahan Radioaktif (Kawalan VI) bagi tahun 2021-2023 oleh Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia), baru-baru ini.

MB Inc dalam kenyataan media memaklumkan, pengiktirafan itu diterima bersempena dengan Simposium Teknikal Jabatan Tenaga Atom 2024 yang dirasmikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Tuan Chang Lih Kang, di Dengkil.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin, ia merupakan anugerah kali kedua yang diterima pihaknya selepas menerima anugerah sama pada dua tahun lalu daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA).

Katanya, ia susulan pengurusan cemerlang Amanjaya Global Sdn. Bhd menguruskan menguruskan Tapak Repositori, di Belanja, Parit.

“MB Inc merupakan satu-satunya pemegang lesen dari Negeri Perak yang dipilih untuk kategori tersebut daripada lebih 1,810 pemegang lesen seluruh negara. (Justeru), kami berasa berbesar hati dengan pengiktirafan kali kedua ini.

“Semoga penganugerahan ini menjadi pemangkin kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri lain untuk bersama-sama terus menyumbang terhadap pembangunan dan kecemerlangan Perak,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Tambah kenyataan sama, anugerah itu disampaikan Ketua Pengarah Atom Malaysia, Noraishah Pungut kepada Pengurus Kanan Amanjaya Global Sdn. Bhd. Zul Helmi Ghazali.

Jelasnya lagi, penganugerahan tersebut dinilai berdasarkan kepada beberapa mencakupi pengurusan keselamatan sinaran yang cemerlang, pemantauan radiologi yang efisien, inisiatif komuniti seperti tanggungjawab sosial korporat (CSR) atau perkongsian ilmu.

Tambahnya, ia perkongsian ilmu itu termasuk berkaitan kesedaran keselamatan sinaran, tiada tindakan undang-undang dari pihak berkuasa, serta tiada kemalangan radiologi dan nuklear. -MG Perak

 

https://mgperak.com/mb-inc-terima-anugerah-pemegang-lesen-terbaik-bahan-radioaktif/