MB Inc tanam 75,000 pokok di Perak

thumbnail

IPOH: Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc Perak) sudah menanam 75,000 pokok di seluruh negeri sejak November tahun lalu hingga kini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Anuar Zainal Abidin, berkata jumlah pokok yang ditanam menerusi Program Kekal Hijau melebihi 67 peratus daripada sasaran untuk menanam 45,000 pokok sebelum 31 Januari tahun ini.

Program itu katanya, dilaksanakan dengan kerjasama 50 agensi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, agensi kerajaan negeri dan persekutuan, Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), sekolah, masjid, komuniti setempat dan Kampung Orang Asli (KOA).

"Pihak MB Inc menerima sokongan dan kerjasama baik daripada pelbagai pihak. Semuanya mempunyai matlamat yang sama iaitu memelihara dan memulihara alam sekitar," katanya pada sidang media di Pejabat MB Inc Perak, hari ini.

Anuar berkata, pelaksanaan itu juga menyokong inisiatif Kerajaan Negeri Perak di bawah Kempen Perak Bumi Lestari bagi usaha penanaman pokok yang diselaraskan oleh MB Inc.

Beliau berkata, audit penanaman pokok turut dilaksanakan dalam memastikan pokok yang ditanam berada dalam keadaan baik dan sihat.

Program Kekal Hijau memberi tiga fokus utama terhadap kelestarian alam sekitar iaitu air, tumbuhan dan haiwan.

"Antara pokok yang ditanam ialah pokok nadir, rehabilitasi, keselamatan dan pemuliharaan contohnya Bakau, Berembang dan Ketapang yang boleh mengelakkan hakisan di sungai," katanya.

Dalam pada itu, Anuar berkata, kempen penanaman pokok ini juga bukan sahaja dapat melestarikan alam sekitar semata-mata tetapi dapat memberi sumber pendapatan kepada KOA.

"Sebanyak 9,620 pokok kopí ditanam di KOA Kampung Air Bah, Kampong Asu Hulu Perak dan Kampung Kerawat. Semua penduduk kampung diberi latihan tanaman dan penjagaan pokok oleh pakar pokok kopi," katanya.

Sebelum ini MB Inc dilaporkan diberi mandat oleh Kerajaan Negeri melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) untuk menanam 45,000 pokok sebelum 31 Januari 2021.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/866393/mb-inc-tanam-75000-pokok-di-perak