BATU GAJAH: Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) menyampaikan sumbangan berjumlah RM12, 250 kepada remaja, Wan Arif Ferdaus Wan Ahmad Affendy bagi membiayai kos pembuatan kaki palsunya yang baharu.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pegawai Khas Kanan Menteri Besar, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh kepada keluarga Wan Arif di Kampung Seri Meriah di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar Strategi Komunikasi Korporat MB Inc., Siti Kamesah Bee Md Hashim.
Mohd Hafez berkata, pihaknya menghargai sumbangan yang diberikan oleh pihak MB Inc. dalam membantu Wan Arif untuk mendapatkan kaki palsu yang baharu.
“Saya mewakili Menteri Besar amat berbesar hati dengan sumbangan daripada MB Inc. Perak yang membantu adik Wan Ariff untuk mendapatkan kaki palsunya.
“Insya-Allah, dalam tempoh dua bulan lagi kaki palsu tersebut siap dan akan diberikan kepada adik Wan Ariff,” katanya kepada media.
Dalam pada itu, Siti Kameesah Bee berharap sumbangan tersebut dapat membantu Wan Ariff untuk merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang atlet.
“MB. Inc Perak sangat terkesan dengan kisah kegigihan adik Wan Ariff yang berusaha untuk mencapai impiannya sebagai seorang atlet.
“Kami berharap sumbangan ini dapat membantunya untuk menjayakan cita-cita tersebut, ” katanya
Kisah remaja berusia 16 tahun itu yang mahir membuat roti puri, tular apabila gambar dia membantu ibunya, Zetty Firdaus Ramli di warung kecil mereka dikongsi di Facebook, baru-baru ini.
Wan Arif kehilangan sebelah kakinya akibat kanser tulang yang dihidapinya beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, remaja itu yang kini bebas kanser tetap aktif dalam aktiviti sukan walaupun berkaki palsu.
Sumber:https://www.suaraperak.com/mb-inc-sumbang-rm12500-bantu-wan-arif-dapatkan-kaki-palsu-baharu/