MB Inc peruntukan RM5 juta perluas program CSR

Thumbnail

IPOH, 16 Julai – Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) telah memperuntukan hampir RM5 juta bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tempoh pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin berkata, peruntukan itu meliputi pelbagai aspek bantuan antaranya kotak makanan kepada komuniti, pengecualian bayaran sewa kepada operator, pendidikan dan kesihatan.

Menurutnya, program itu tidak tertumpu kepada bantuan makanan sahaja, tetapi turut melibatkan sumbangan-sumbangan lain.

“Bermula Januari lalu MB Inc turut menyumbangkan 100 komputer riba terpakai membabitkan peruntukan hampir RM60,000 bagi tujuan pembelajaran dalam talian kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di seluruh negeri.

“Selain itu, MB Inc juga telah memberi kelonggaran dari segi sewaan selama enam bulan kepada pengusaha dan penyewa di bawah perbadanan ini,” katanya.

structure

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan 50 kotak makanan dan wang tunai kepada petugas media di Perak yang diwakili Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Mohd Hesyam Syed Idris di sini, hari ini.

Anuar berkata, sebagai menyokong usaha mengekang penularan wabak Covid-19, pihaknya turut membantu menyediakan perkhidmatan sanitasi secara percuma kepada masjid-masjid terpilih selain mengagihkan pek penjagaan diri seperti pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada komuniti setempat.

Menurutnya, program-program seumpama itu dilakukan berterusan dengan sebahagiannya dilaksanakan secara kerjasama agensi lain dalam usaha memberi sumbangan kembali kepada masyarakat dan golongan sasar yang terkesan.

Beliau memberi contoh inisiatif bersama Yayasan Bina Upaya (YBU) telah mewujudkan ‘Kedai Bergerak Negeri Perak’ dengan menyediakan perkhidmatan lori membawa barangan kering dan basah untuk keperluan rakyat yang berada jauh dari kawasan bandar pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.

structure

“Dalam menghargai pengorbanan barisan hadapan, MB Inc juga menyumbang kanopi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di beberapa lokasi sekatan jalan raya (SJR) seluruh negeri.

“Kita turut menyediakan makan minum untuk petugas di lapan lokasi SJR ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Diperketatkan (PKPD), PKP Pemulihan (PKPP),” ujarnya.

Dalam pada itu, Anuar berkata, sumbangan kepada petugas media adalah sebagai tanda menghargai pengorbanan kumpulan itu yang turut sama berkhidmat di barisan hadapan sepanjang PKP dikuatkuasakan.

“Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), MB Inc turut cakna dengan situasi semasa pengamal media di negeri ini dan berharap ia dapat membantu mereka terutama menjelang Hari Raya Aidiladha ini,” tambahnya.

structure

sumber: https://www.suaraperak.my/mb-inc-peruntukan-rm5-juta-perluas-program-csr/?fbclid=IwAR16UY9Acdv1g6_aWR___1DY6eoV7bVgVBBCTaYFPPazqlF2UyphUNPs7zA