IPOH,. Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) menerusi anak syarikatnya, Amanjaya Global Sdn Bhd, diiktiraf sebagai Pemegang Lesen Terbaik untuk Kategori Bahan Radioaktif (Kawalan VI) bagi tahun 2021-2023 oleh Jabatan Tenaga Atom, baru-baru ini.
Anugerah itu disampaikan pada Simposium Teknikal Jabatan Tenaga Atom 2024 yang disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc Perak, Anuar Zainal Abidin berkata anugerah sama telah diterima perbadanan itu bagi tahun 2018-2020 pada 2022 atas pengurusan cemerlang Tapak Repositori, Mukim Belanja yang dikawal selia Amanjaya Global Sdn. Bhd.
Anuar berkata MB Inc Perak merupakan satu-satunya pemegang lesen dari negeri itu yang dipilih untuk kategori tersebut daripada lebih 1,810 pemegang lesen di seluruh negara.
“Kami berasa berbesar hati dengan pengiktirafan kali kedua ini dan semoga penganugerahan ini menjadi pemangkin kepada syarikat berkaitan kerajaan negeri lain untuk bersama-sama terus menyumbang terhadap pembangunan dan kecemerlangan negeri Perak,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Penganugerahan itu dinilai berdasarkan beberapa kriteria antaranya pengurusan keselamatan sinaran, pemantauan radiologi yang efisien, inisiatif komuniti seperti tanggungjawab sosial korporat atau perkongsian ilmu berkaitan kesedaran keselamatan sinaran, tiada tindakan undang-undang dari pihak berkuasa serta tiada kemalangan radiologi dan nuklear.