KUALA LUMPUR: Sebuah makmal untuk menentusahkan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) akan beroperasi di Simpang Pulai, Perak bulan depan sekali gus peserta industri tidak perlu lagi menghantarnya ke luar negara.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata operasi makmal berkenaan menunjukkan negara tidak perlu lagi bergantung kepada kepakaran luar untuk menentusahkan NR-REE itu.
Katanya pengoperasian makmal itu dikenali sebagai Terra Mineral Lab.
Dengan kewujudan makmal itu, beliau berkata ia bukan saja dapat membantu memudahkan urusan penentusahan NR-REE sebaliknya memberi manfaatkan kepada bakat tempatan, sekali gus dapat mengurangkan kadar pengangguran khususnya di Perak.
"Jadi di Perak sekarang kita telah tubuh makmal Terra Mineral Lab yang dibangunkan oleh MBInc (Perbadanan Menteri Besar Perak). Makmal ini akan mengambil alih tugas yang dibuat oleh sebuah syarikat di Nanning, China.
"Dulu semasa kita hantar NR-REE ke Nanning, China kerana ada syarikat atau makmal yang menentukan sama ada itu adalah NR-REE ada radioaktif atau tidak. Dulu kita hantar ke Nanning tetapi sekarang kita ada di Simpang Pulai, Perak. September ini kita akan mulakan.
"Selepas ini, mana-mana negeri dalam Malaysia ada mengekstrak mineral ini mereka boleh datang ke Perak untuk menentusahkan betul-betul NR-REE atau mineral lain.
"Jadi kita memberi peluang pekerjaan baharu khususnya kepada anak Perak yang mempunyai kelayakan dalam bidang berkaitan," katanya kepada pemberita semalam.
Oleh kerana tidak boleh dieksport NR-REE berkenaan yang ditemui di Perak, Saarani berkata selain industri huluan iaitu pengekstrakan dan juga menentusahkan di makmal mineral berkenaan, terdapat proses lain bakal ditawarkan kerajaan negeri .
Jelasnya, ia membabitkan kepakaran dalam bidang untuk mengasingkan NR-REE kepada beberapa elemen.
Untuk merealisasikan hasrat itu, beliau mengadakan kunjungan ke China dan Korea Selatan untuk melihat proses dilakukan.
"Saya pergi ke China dan tengok bagaimana syarikat di sana memisahkan daripada satu bongkah besar NR-REE itu, mereka buat pemisahan kepada 17 warna. Bermakna ada 17 subelemen yang nilainya berbeza-beza.
"Tetapi sekarang kerajaan tidak lagi buat kerana sekatan eksport. Jadi Perak kena menyediakan makmal ini dan kena juga menyediakan syarikat yang boleh menyediakan perkhidmatan pemisahan. Jadi sekarang kita sedang buat.
"Ada sebuah syarikat yang tak boleh dinamakan iaitu sebuah syarikat tempatan dan bakat tempatan. Kita minta mereka buktikan dalam tempoh enam bulan sehingga November ini, bahawa mereka juga berkemampuan seperti mana di Nanning, China.
"Kalau betul syarikat berkenaan boleh buat, maka Insya-Allah di Perak akan ada sebuah syarikat, sebuah kilang yang mempunyai kepakaran untuk memisahkan bongkah NR-REE itu kepada 17 elemen itu kita panggil industri pertengahan," katanya