Gopeng: Penubuhan makmal analisis mineral pertama negara, Terra Mineral Lab (TML) dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (CoE) di Persiaran Teknologi, di sini, membuktikan kesungguhan Perak sebagai peneraju industri mineral.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kemudahan penyelidikan yang dibangunkan dengan kos RM12 juta itu dilengkapkan peralatan saintifik berteknologi tinggi bertaraf global.
Beliau berkata, ia termasuk Inductively Coupled Plasma Mass Spectrometry (ICP-MS), Wavelength Dispersive X-Ray Flourescense (WDXRF) dan Micro X-Ray Fluorescense (Micro-XRF).
Menurutnya, peralatan saintifik itu mampu menganalisis, mengenal pasti dan menentusahkan kandungan mineral khususnya unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dengan ketepatan tinggi.
"Namun potensi sebenar lantanida ini belum diteroka sepenuhnya.
"Dengan penubuhan TML dan CoE, kita mampu mempercepat proses penerokaan, analisis dan seterusnya ke arah pemprosesan mineral yang lebih menyeluruh.
"TML kini dalam proses mendapatkan akreditasi MS ISO/IEC 17025 daripada Jabatan Standard Malaysia sebagai langkah pertama yang akan mengiktirafnya sebagai makmal komersial utama negara dalam analisis mineral," katanya selepas merasmikan TML dan CoE di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Teh Kok Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc Anuar Zainal Abidin.
Saarani berkata, lebih membanggakan, makmal itu dikendali 15 tenaga kerja tempatan membabitkan pegawai kimia kanan, pegawai kimia dan penolong pegawai kimia berpengalaman dalam pengkhususan analisis mineral serta graduan universiti tempatan terlatih.
"Tenaga kerja ini hasil program kerjaya dianjur Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK)," katanya.
Mengulas mengenai CoE, Saarani memaklumkan inisiatif itu memulakan projek penyelidikan industri huluan NR-REE dengan tiga objektif utama iaitu pemantauan tahap keradioaktifan, pemantauan sumber air bawah tanah dan pemantauan kestabilan tanah.
Menurutnya, pengoperasian TML dan CoE adalah langkah strategik kerajaan negeri merealisasikan agenda Perlombongan Bertanggungjawab seperti digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.
"Inisiatif ini dijangka memacu pertumbuhan ekonomi mampan, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan mengukuhkan kedudukan Perak sebagai peneraju utama industri NR-REE di Malaysia," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/10/1140670/lonjak-perak-teraju-industri-mineral