Lawatan ke Korea Selatan tarik minat pelabur dalam industri mineral di Perak – Saarani

thumbnail

IPOH – Lawatan kerja Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad selama lapan hari ke Korea Selatan bertujuan menarik minat syarikat di negara itu untuk melabur di Perak khususnya dalam industri mineral.

Beliau bersama delegasi kerajaan negeri, dalam rangka lawatan kerja ke Korea Selatan bermula dari 20 hingga 27 April ini.

“Lawatan rasmi ini adalah salah satu daripada inisiatif yang diatur untuk menggamit minat syarikat negara ini untuk melabur di Perak, khususnya dalam industri mineral termasuk unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang kini menjadi salah satu daripada segmen ekonomi penting bagi negeri Perak,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Isnin.

Hadir sama menyertai delegasi kerajaan negeri dalam lawatan kerja tersebut adalah Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Loh Sze Yee; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin; dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Haliza Sipun.

Sementara itu, Saarani dan delegasi kerajaan negeri sempat meluangkan masa mengadakan pertemuan interaktif bersama Kedutaan Malaysia di Korea Selatan dan Anak-Anak Mahasiswa Perak yang menuntut  di negara berkenaan.

Dalam pertemuan itu, beliau mengambil peluang dalam mencerakinkan usaha dan inisiatif kerajaan negeri dalam merancakkan ekonomi demi kesejahteraan rakyat di negeri Perak khususnya.

Seramai 23 orang anak Perak terdiri daripada mahasiswa Malaysia di Korea turut bersama bertukar-tukar pandangan dengan barisan kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri mengenai isu-isu yang berkepentingan bersama.

“Sempat saya luangkan masa makan malam bersama Kedutaan Malaysia di Korea Selatan dan Anak-Anak Mahasiswa Perak yang belajar di sini serta berkongsi  mengenai keadaan semasa negeri kita, termasuk perancangan ekonomi yang sedang giat kita lakukan melalui pelan Perak Sejahtera 2030.

“Rata-rata mereka merupakan pelajar yang sedang mengikuti pengajian di tiga universiti terkemuka Korea Selatan iaitu S.K.Y – Seoul Universiti, Korea Universiti dan Yonsei Universiti.

“Rasa bangga juga bila dapat tahu ada dikalangan anak Perak ini yang berjaya mendapat tajaan daripada Kerajaan Korea bagi pengajian Post-Grad.

“Pesan saya, selamat maju jaya buat kesemuanya dan tuntutlah ilmu serta pengalaman sebanyak mungkin. Semoga suatu hari nanti, kalian dapat kembali mencurahkan bakti kepada negeri Perak jika pulang ke tanah air kelak. Insha-ALLAH,” katanya – MG Perak