Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata projek merangkumi pembangunan bercampur yang akan mengambil masa 15 tahun itu akan dilaksanakan syarikat usaha sama RAC dan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).
"Kami nak pastikan ia ada komponen perniagaan dan komersial selain komponen perumahan mampu milik yang mana semua akan diintegrasikan dengan Stesen Keretapi Ipoh.
“Ini sebahagian daripada pembangunan TOD yang diutamakan kerajaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama strategik TOD di Perak, di antara RAC dan MB Inc, di Kementerian Pengangkutan di sini.
RAC diwakili Pengurus Besarnya, Azhar Ahmad manakala MBinc Perak diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anuar Zainal Abidin.
Ahmad Faizal pula berkata, pendekatan menang-menang dilihat dapat membantu kedua-dua pihak meningkatkan hasil masing-masing.
Katanya, antara aspek penting dalam pembangunan berorientasikan transit ialah lokasi yang strategik iaitu penempatan yang dikelilingi perumahan, sektor pekerjaan, pusat beli-belah, hiburan dan kepelbagaian kemudahan lain.
“Ini akan menjadikan tanah RAC sebagai lokasi strategik untuk diterjemahkan dengan baik kepada pembangunan berorientasi transit.
“Selain usaha sama melalui projek komersial, pembangunan yang dirancang turut membabitkan pembinaan rumah mampu milik di dalam kawasan hab transit dengan fokus pembangunan di kawasan sekitar Stesen Keretapi Ipoh,” katanya.
Ditanya mengenai pembangunan rumah mampu milik di kawasan tengah bandar itu, Ahmad Faizal berkata, projek pembangunan akan menyumbang ke arah mencapai sasaran yang digariskan Rumah Perakku.
“Kerajaan negeri menyasarkan untuk membina 50,000 unit rumah menerusi program Rumah Perakku dalam tempoh empat tahun akan datang,” katanya.