Batu Gajah: Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5) menjadi kapal korek pertama di dunia yang menerima anugerah kejuruteraan mekanikal antarabangsa daripada 'Institution of Mechanical Engineers' (IMechE), United Kingdom (UK).
Anugerah itu diserahkan oleh Presiden ImechE Eur Ing Phil Peel kepada Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin di TT5, Tanjung Tulang di sini, hari ini.
Mohammad Nizar berkata, pengiktirafan itu amat membanggakan negeri dan Malaysia secara amnya, kerana TT5 menjadi kapal korek pertama yang diiktiraf oleh badan jurutera itu sepanjang 137 penganugerahan yang sudah dikeluarkan di seluruh negara.
"Kerajaan negeri melalui Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) membelanjakan RM10 juta sejak 2017 lalu bagi kerja-kerja membaik pulih warisan negara ini yang ketika berada dalam keadaan senget dan tidak boleh dikunjungi.
"Kemungkinan akan ada lagi peruntukan sekiranya diperlukan lagi untuk membaik pulih lagi peralatan di dalam kapal korek ini. Secara prinsip, kita tidak usik mana-mana bahagian yang asal," katanya pada Majlis Penerimaan Anugerah Warisan Kejuruteraan IMechE di TT5, Tanjung Tulang di sini.
Ditanya sama ada kerajaan negeri berhasrat melabur bagi membolehkan teknologi perlombongan bijih timah itu berfungsi seperti asal, Mohammad Nizar menjelaskan, ia mustahil kerana ia memakan belanja yang sangat tinggi.
"Namun, ada alat-alat di dalam itu seperti 'conveyer belt' dan pam boleh dipertimbangkan untuk digerakkan dengan motor terkini, sekurang-kurangnya pelawat yang masuk dapat mendengar bunyi mesin itu.
"Kita akan usahakan agar ada kepakaran menjalankan alat-alat yang boleh digerakkan tadi.
"Berdasarkan kajian MB Inc, pembuat alatan yang asal di UK bagi kapal korek TT5 sudah tidak beroperasi lagi," katanya.
Sementara itu, Eur Ing Phil Peel berkata, badan kejuruteraan itu mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk menjalankan penilaian terhadap TT5 sebelum keputusan pengiktirafan itu diluluskan.
"Ini adalah satu-satunya kapal korek di Malaysia yang layak dan memenuhi kriteria seperti impak kepada kejuruteraan dan aspek warisan dengan peralatan yang unik.
"Antara yang pernah diberikan pengiktirafan sebegini adalah pesawat Concorde dan 'RAF Museum Supermarine Spitfire' dan 'Belfast Royal Victoria Hospital'," katanya.
Kapal Korek TT5 yang berusia 85 tahun dibina oleh syarikat British, FW Payne pada 1938 dan kini di bawah seliaan MB Inc melalui anak syarikatnya, Amanjaya TTS Sdn Bhd.