IPOH - Badan-badan korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini disaran untuk tidak terlalu berbelanja besar dalam penganjuran sesuatu program sebaliknya berkongsi keuntungan dijana dengan membantu golongan memerlukan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, daripada mengeluarkan kos tinggi bagi penyediaan makanan dan hiburan misalnya, adalah lebih baik peruntukan itu digunakan ke arah aktiviti kebajikan.
"Saya telah katakan kepada perbadanan, GLC dan jabatan di Perak supaya memikirkan cara bagaimana kita untuk tidak membazirkan perbelanjaan dalam mengadakan jamuan hari raya Aidilfitri dan sebagainya.
"Dalam kita bergembira dan sediakan makanan yang berlebihan hingga menyebabkan pembaziran, alangkah baiknya jika kita salurkan untuk perkara-perkara yang membawa kebaikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Raikan Syawal anjuran Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A Sivanesan; Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming; Pengarah HRPB, Dr Teo Gim Sian dan Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin.
Dalam majlis itu, 150 pesakit kanak-kanak di Wad Pediatrik diraikan dengan sumbangan duit raya dan hadiah berupa permainan.
MB Inc turut menyumbangkan 10 kerusi roda untuk kegunaan pesakit hospital.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal memuji pendekatan diambil MB Inc berbanding kebiasaan jamuan raya yang dilakukan pada tahun-tahun sebelumnya.
Katanya, di hospital berkenaan, tidak kurang 90 peratus katil yang disediakan sentiasa dipenuhi dengan pesakit.
"Sudah tentulah majlis begini amat bermakna sebagai penghargaan kepada khidmat warga hospital ini, diharap pada masa akan datang lebih banyak pihak tampil menerusi pendekatan sebegini," katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/34569/EDISI/Perak/GLC-badan-korporat-disaran-jangan-membazir