BATU GAJAH: Empat lokasi pelancongan di Perak akan dipromosikan di pentas antarabangsa menerusi ekspo Dubai dalam usaha mengetengahkan produk negeri di mata dunia.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata beliau bersama beberapa wakil agensi dan jabatan dijangka akan berangkat ke negara Timur Tengah itu bermula 26 Disember hingga 2 Januari tahun hadapan bagi tujuan berkenaan.
"Saya bersama dengan yang lain akan ke ekspo Dubai, jadi antara perkara yang kita akan bawa ialah mempromosikan beberapa produk pelancongan antaranya termasuk Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5).
"Selain itu, tiga lagi kawasan yang akan dipromosikan ke ekspo berkenaan adalah Embun Sahom Gopeng, Kuak Hill Resort, MBI termasuk TT5 Maze Park terbaharu yang berada di kawasan sekitar kapal korek ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan kerja di Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5) dan TT5 Maze Park di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Anuar Zainal Abidin.
Saarani berkata, difahamkan dua minggu lalu wakil kedutaan dari Jerman turut datang dan juga membantu mempromosikan TT5 kepada beberapa kedutaan lain.
"Lawatan delegasi dari Jerman itu akhirnya membuat temujanji dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan mereka difahamkan akan datang berkunjung ke tempat ini (TT5) pada bulan Mac nanti," katanya.
Sehubungan itu, lawatan beliau ke Kapal Korek TT5 hari ini bertujuan melihat pembangunan kawasan yang disasarkan mampu menjadi tarikan utama pengunjung khususnya pelancong luar negara pada masa hadapan.
"Saya percaya akan ada lagi usaha untuk menambahbaik yang masih boleh dibangunkan sebagai tarikan kepada pengunjung berminat dengan kapal korek.
"Menerusi produk pelancongan TT5 dan Maze Garden ini, kita berharap selain pelancong domestik kita juga mampu menarik pelancong antarabangsa.
"Pengunjung tempatan pun akan berminat untuk pegi tempat sebegini, kerana ia ada kelainan selain berkunjung ke tempat pelancongan biasa seperti taman tema air atau zoo. Ini benda baharu dan ada sejarah serta sesuai untuk semua golongan,"katanya.