AP eksport lambakan NR-REE di Perak diluluskan semula - Saarani

thumbnail

IPOH: Kelulusan permit (AP) bagi mengeksport lambakan stok unsur nadir bumi (REE) rare earth carbonate (REC) menerusi projek perlombongan REE bukan radioaktif (NR-REE) di Kenering, Hulu Perak, sudah diluluskan semula kepada penggerak projek itu oleh kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata AP itu diberikan oleh kerajaan Persekutuan pada 26 September 2024 selepas menetapkan larangan pengeksportan bahan mineral NR-REE yang bermula pada 1 Januari 2024.

Katanya, larangan eksport sebelum ini menyebabkan lambakan stok REC yang sudah diekstrak di kawasan PML 06/2021 PT 1761 kerana tidak dapat dihantar keluar dan menyebabkan royalti eksport REC tergendala sementara.

"Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan pada 26 September 2024 meluluskan semula AP kepada penggerak projek bagi mengeksport lambakan stok REC sedia ada," katanya menggulung perbahasan Enakmen Perbekalan 2025 pada sidang Dewan Udangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Saarani berkata, antara Februari 2023 hingga April 2024, perlombongan NR-REE menghasilkan jumlah eksport dianggarkan 13,103 tan bahan mentah NR-REE ke China, membabitkan pendapatan dijana RM257.358 juta dengan pulangan royalti RM45.878 juta kepada kerajaan negeri.

Katanya, langkah proaktif jangka panjang diambil kerajaan negeri melalui pembangunan central processing plant (CPP) secara proof of concept (POC), dibuat berikutan China melarang sebarang pemindahan pengetahuan dan teknologi berkait pengasingan REE kepada negara luar.

"CPP POC dibangunkan menerusi kerjasama Menteri Besar Incorporated (MB Inc) dan sebuah syarikat kepakaran tempatan. Ia berpotensi menjadi faktor pusingan untuk pengembangan industri pertengahan dan industri hiliran NR-REE di Perak.

"Ia secara tidak langsung menarik prospek pelaburan dari negara luar untuk melabur di Perak serta mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada China dalam industri terbabit.

"Kerajaan negeri juga sudah memohon peruntukan RM20 juta kepada Kementerian Kewangan bagi menjalankan eksplorasi terperinci bertujuan menentusahkan rizab sebenar deposit NR-REE yang boleh diteroka menerusi pendekatan strategik dengan merancang eksplorasi kawasan potensi NR-REE baharu," katanya.