Anak syarikat MB Inc terima anugerah The Brandlaureate

thumbnail

IPOH – Anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Pengurusan Pasir Perak Sdn. Bhd. (3P) menerima anugerah The Brandlaureate Fast Moving Growing Sustainable Business and Brands Awards 2024, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin, berkata 3P menerima anugerah bagi kategori Pengurusan Sumber Mampan oleh The World Brands Foundation (TWBF).

Katanya, anugerah berkenaan mengiktiraf pencapaian cemerlang 3P sebagai peneraju amalan dan tatakelola terbaik dalam pengurusan pasir di Negeri Perak.

Menurut beliau, anak syarikat MB Inc itu juga telah membawa hasil membanggakan dengan peningkatan sebanyak 37 kali ganda dalam kutipan royalti kepada kerajaan negeri.

“Kejayaan 3P dalam membangunkan Sistem Pengurusan Sumber Mineral (SPSM) untuk mengawal isu ketirisan aktiviti perlombongan pasir tidak terkawal telah membuktikan inovasinya dengan berjaya meningkatkan kutipan royalti kepada kerajaan negeri sejak September 2014.

“Anugerah berprestij ini merupakan satu lagi pengiktirafan terhadap dedikasi dan komitmen MB Inc dalam mencapai kecemerlangan dalam urus tadbir pengurusan pasir di Perak,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

nuar

Dalam pada itu, Anuar turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, pentadbiran kerajaan negeri serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) negeri atas komitmen yang diberikan untuk membawa 3P ke peringkat global.

Dalam kenyataan sama MB Inc memaklumkan, antara penerima anugerah berprestij sama adalah termasuk pelumba trek profesional negara, Datuk Azizulhasni Awang dan pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia.

Turut menerima anugerah adalah pemain-pemain industri seperti UDA Holdings Bhd., Acer Sales and Services Sdn. Bhd., serta Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd.

“Penerima-penerima lain yang memberikan sumbangan terbaik kepada negara melalui bidang kepakaran masing-masing juga menerima anugerah sama.

“Setiap penerima anugerah berprestij ini telah dinilai dengan teliti oleh panel penilai profesional.

“Ia menekankan ketahanan, kebolehsuaian, pertumbuhan luar biasa dan kriteria penting lain dalam mengharungi landskap perniagaan pesat pada masa ini,” katanya lagi. – MG