Ambil peluang promosi pelancongan ketika nilai ringgit menyusut

BATU GAJAH: Penyusutan nilai ringgit pada masa ini boleh diambil peluang untuk meningkatkan sektor pelancongan di Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata penyusutan nilai ringgit juga tidak akan menjejaskan kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2024 (TMP2024).

Malah, katanya, keadaan itu boleh diambil peluang menggalakkan pelancong luar berkunjung ke negeri ini sekali gus berbelanja.

"Situasi kejatuhan ringgit akan membuatkan ramai orang akan datang. Dahulunya ramai orang pergi ke Indonesia dan Thailand sebab duit (mata wang) orang sana lebih rendah daripada duit kita, membuatkan harga barang lebih murah.

"Jadi ia akan menarik perhatian orang untuk datang ke mari. Saya percaya di Johor pun ramai orang dari Singapura yang berkunjung ke negeri itu untuk membeli barang sebab lebih murah di Johor. Jadi kena berfikiran positif tentang itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Taman Inspirasi Alam Semulajadi ESCAPE Ipoh yang terletak bersebelahan ikon Warisan Kapal Korek TT5 Tanjung Tualang, di sini hari ini.

Saarani dalam pada itu mengakui Malaysia memerlukan nilai mata wang yang kukuh bagi pengukuhan ekonomi terutama untuk perdagangan antara negara serta berkaitan import eksport.

"Bermakna, bukanlah saya minta duit jatuh, tetapi dengan kejatuhan ringgit ini orang akan lebih datang ke Malaysia dan berbelanja kerana kita punya perbelanjaan lebih murah daripada negara lain.

"Untuk tujuan pelancongan, ia lebih baiklah sebab semua orang luar akan datang ke mari," katanya.

Minggu lalu ringgit mencecah RM4.80 berbanding dolar Amerika Syarikat yang dikaitkan dengan pelbagai faktor luar.

 

https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2024/02/1216180/ambil-peluang-promosi-pelancongan-ketika-nilai-ringgit-menyusut