1,500 kaki kayuh bakal serbu Taiping

thumbnail

Kuala Lumpur: Seramai 1,500 peserta dijangka menyertai kayuhan Taiping 150 Ride 2024 iaitu acara berbasikal yang pertama kali dianjurkan pada 8 Disember depan.

Ia adalah salah satu acara utama sempena sambutan Tahun Melawat Perak 2024 serta ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping.

Acara berkenaan akan bermula dan berakhir di Taman Tasik Taiping dengan peserta bakal melalui laluan berbasikal yang unik dan mencabar, melintasi kawasan desa indah di Perak termasuk Sepetang, Simpang Empat, dan Kamunting, sambil menikmati keindahan alam dan suasana yang damai.

Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh berkata, antara objektif penganjurannya adalah untuk merapatkan hubungan antara komuniti selain mempromosikan Taiping sebagai destinasi berbasikal yang menarik.

"Acara ini bukan sahaja bertujuan merapatkan komuniti, tetapi juga mempromosikan Taiping sebagai destinasi berbasikal yang menarik. Kami mengalu-alukan penyertaan daripada semua yang ingin merasai pengalaman yang unik ini," katanya dalam satu kenyataan.

Taiping 150 Ride menawarkan dua kategori utama iaitu 90km dan 60km, serta kategori kayuhan santai sejauh 20km yang dibuka kepada orang awam.

Dengan sokongan daripada Kementerian Pendidikan, pendaftaran bagi pelajar berumur 7 hingga 17 tahun untuk semua kategori adalah percuma.

Sokongan ini bertujuan menggalakkan pembabitan golongan muda dalam aktiviti sihat dan memberi pendedahan kepada sukan berbasikal, yang turut menyumbang kepada pembangunan fizikal dan sosial mereka.

Acara ini turut disokong oleh penaja utama seperti Alliance Bank Malaysia Berhad, Perak Transit Berhad, Allianz Malaysia Berhad, Protech Sports, Menteri Besar Incorporate, serta agensi kerajaan termasuk Majlis Perbandaran Taiping, Visit Perak, Polis Diraja Malaysia, dan Pejabat Daerah dan Tanah, Larut, Matang dan Selama.