Menteri Besar Incorporated (Perak) menerusi Kelab Warga Kerja MB Inc. Perak (CRESTERS) telah menjayakan Program Ihya' Ramadan Cresters MB Inc. Perak 2026 melalui penganjuran Program Gotong-Royong Memasak Bubur Lambuk Bersama Warga Kerja, hari ini.
Program yang penuh makna ini mencerminkan komitmen berterusan MB Inc. Perak dalam memupuk semangat kebersamaan, menghidupkan tradisi amalan mulia bulan Ramadan serta menyuburkan ikatan silaturahim yang erat dalam kalangan warga kerjanya.
Turut mengimarahkan program tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Dato' Anuar Zainal Abidin, bersama-sama barisan pengurusan kanan MB Inc. Perak meluangkan masa bersama segenap warga kerja sepanjang program berlangsung.
Seusai program, MB Inc. Perak turut mengambil kesempatan murni ini untuk mengagihkan juadah bubur lambuk sebagai tanda berkongsi rezeki bersama warga agensi Kerajaan Negeri, termasuk mereka yang sedang bertugas di bangunan PTTC, Meru.
Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah dirakamkan kepada seluruh warga kerja yang telah mencurahkan tenaga dan masa dalam menyemarakkan bulan Ramadan ini, sekaligus menerapkan nilai-nilai murni serta semangat keprihatinan dalam menyantuni dan meraikan masyarakat sekeliling.