YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad telah menggariskan hala tuju dan keutamaan pentadbiran Kerajaan Negeri Perak dalam usaha berterusan menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat negeri, hari ini.
Majlis Wacana Eksekutif dan Perutusan Tahun Baharu 2026 bersama seluruh penjawat awam negeri Perak ini diadakan untuk menyuntik semangat baharu serta mengukuhkan tekad dalam memikul amanah berkhidmat dengan penuh rasa tanggungjawab.
Turut hadir ialah YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; Ketua-Ketuq Jabatan Negeri dan Persekutuan; serta para penjawat awam.
Dalam majlis tersebut, YAB Menteri Besar Perak telah menggariskan lima fokus utama sebagai teras penggerak kecemerlangan pentadbiran Kerajaan Negeri pada tahun 2026.
• Pengukuhan Hasil & Kelestarian Ekonomi Negeri
• Penyelesaian Aduan & Isu Rakyat Secara Tuntas
• Transformasi Digital, Data & AI Dalam Perkhidmatan Awam
• Menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026
• Pemerkasaan Budaya Kerja & Keupayaan Pentadbiran.
Menteri Besar Incorporated (Perak) yang bertindak sebagai peneraju industri mineral negeri akan terus bergerak seiring bersama Kerajaan Negeri mengharungi tahun 2026 dengan semangat kerja tinggi bagi memperkasakan industri mineral negeri khususnya, sekaligus menyumbang kepada pengukuhan hasil ekonomi negeri.
Diharapkan segala usaha kolektif seluruh jentera pentadbiran negeri Perak dalam menggerakkan enjin kemajuan dan kejayaan negeri diberkati Allah SWT serta menjadi sumbangan bermakna ke arah Perak yang makmur dan rakyat yang sejahtera, insya-Allah.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak