Kapal Diraja (KD) Hang Tuah yang telah mengabdikan khidmat baktinya bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejak tahun 1977 secara rasmi dilucut tauliah pada Majlis Pelucutan Tauliah KD Hang Tuah di Pangkalan TLDM Lumut, baru-baru ini.
Majlis bersejarah ini disempurnakan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Baharudin bin Wan Md Nor melalui Upacara Penyerahan Ensign KD Hang Tuah dan Penurunan Lencana Pegawai Memerintah yang penuh bermakna.
Dinamakan sempena Laksamana Hang Tuah, kapal ini telah menjadi tulang belakang pertahanan maritim negara selama hampir lima dekad dan memainkan peranan penting dalam menerajui pelbagai operasi strategik bagi memelihara kedaulatan dan kepentingan maritim Malaysia.
Pelucutan tauliah KD Hang Tuah merupakan sebahagian daripada transformasi berterusan TLDM dalam usaha memodenkan armadanya selaras dengan keperluan pertahanan semasa dan kemajuan teknologi ketenteraan terkini yang semakin canggih.
Dalam majlis yang sama, MB Inc. Perak turut hadir selaku GLC negeri yang telah diberi mandat oleh Kerajaan Negeri untuk mengambil alih dan menyelenggara KD Hang Tuah bagi ditransformasikan menjadi Memorial Muzium yang dijangka memperkukuh sektor pelancongan warisan negeri.
Pelucutan tauliah KD Hang Tuah melambangkan penghujung sebuah era gemilang dalam sejarah TLDM sekaligus membuka lembaran baharu sebagai warisan maritim negara yang bakal ditransformasi menjadi memorial muzium supaya pengorbanan wira-wira dapat terus hidup dalam ingatan generasi akan datang.