YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri DiRaja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor telah mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Kraftangan, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) Cawangan Perak, baru-baru ini.
Lawatan tersebut tertumpu kepada perkongsian menyeluruh mengenai hala tuju dan perkembangan semasa industri kraf tempatan dalam penghasilan serta pengembangan produk batik di Malaysia, khususnya Batik Perak.
Hadir sama ialah YBhg. Datin Dr. Zoharah binti Omar, isteri kepada YB. Penasihat Undang-Undang Negeri; YBhg. Datin Nor Azida binti Abdul Rahman, isteri kepada YB. Pegawai Kewangan Negeri; dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman.
Turut hadir ialah Dato’ Pengelola Bijaya Diraja, Tuan Haji Meor Hezbullah bin Meor Abd. Malik; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, YBhg. Dato’ Anuar bin Zainal Abidin; serta Pengarah PKKM Cawangan Perak, Encik Mohamad Rizan bin Mohamad Nordin.
Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat oleh Pengarah PKKM Cawangan Perak mengenai perkembangan industri batik di Malaysia yang merangkumi sejarah serta evolusi teknik penghasilan batik di pelbagai negeri.
Lawatan disusuli dengan demonstrasi pembuatan Batik Tanah Liat (Batik Clay), iaitu salah satu pendekatan inovatif yang digunakan untuk menghasilkan Batik Perak dengan memanfaatkan bahan berasaskan tanah liat daripada sumber mineral di negeri Perak.
Lawatan ini diharapkan menjadi platform pertukaran idea dan perkongsian pengetahuan yang membolehkan seluruh pihak meneroka potensi kerjasama bagi memperkasa industri kraftangan di Perak khususnya dan Malaysia amnya.