Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bersama Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Penutup Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) Ke-31 Tahun 2025.
Turut mengiringi keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku ialah YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan Negeri.
Kejohanan tahun ini menyaksikan Belgium mencatatkan sejarah gemilang apabila berjaya merangkul kejuaraan buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka, menunjukkan kecemerlangan yang luar biasa dengan menewaskan India dalam aksi final.
Skuad kebanggaan negara, Malaysia menamatkan kempen di tempat keempat selepas tewas kepada New Zealand dalam perlawanan klasifikasi, namun prestasi Speedy Tigers sepanjang kejohanan memperlihatkan semangat juang yang tidak pernah padam serta azam untuk terus berkembang di pentas antarabangsa.
Menteri Besar Incorporated (Perak) merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh peserta daripada semua negara, khususnya skuad negara yang telah mengharumkan nama dalam kejohanan ini.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak